ALOR SETAR, 2 Mac — Walaupun sudah sebulan mengambil tampuk pentadbiran Kedah dan persatuan bola sepaknya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah masih belum menambat hati sesetengah peminat sukan negeri itu.

Menurut beberapa video yang dimuatnaik ke laman YouTube semalam, menteri besar baharu Kedah itu telah menerima jeritan “boo” daripada segelintir penyokong skuad Helang Merah itu semasa perlawanan di Stadium Darul Aman di sini malam tadi.

Dalam dua video oleh pengguna yang menggelar dirinya “McTheory Croniez”, Ahmad Bashah telah diejek semasa beliau di dalam stadium, dan juga semasa pulang dari menonton bola sepak.

Dalam video pertama sepanjang 2 minit 50 saat, kedengaran suara para penyokong yang menjerit “boo” semasa nama beliau diumumkan di pembesar suara stadium.

Menurut McTheory dalam coretan bersama video itu, Ahmad Bashah diejek "bukan sekali dua", tetapi setiap kali nama beliau berkumandang.

Video kedua berdurasi 14 saat pula dikatakan menggambarkan kereta rasmi Ahmad Bashah meninggalkan stadium tersebut sambil ditemani jeritan "boo" daripada orang ramai.

Dalam perlawanan malam tadi, Kedah menumpaskan Kelantan 2-1

Ahmad Bashah dilantik presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sebaik sahaja beliau menggantikan Datuk Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar bulan lepas.

Ahmad Bashah berkata pengalaman selama beberapa tahun sebagai Timbalan Presiden KFA di bawah Menteri Besar kelapan Datuk Seri Syed Razak Syed Zain Barakah, membolehkan beliau mengetahui apa yang diperlukan KFA.

Pertukaran pimpinan KFA tersebut juga menyebabkan usahawan kosmetik Datuk Aliff Syukri Kamarzaman mengundur diri daripada menaja pasukan tersebut.

Namun, Aliff Syukri  dilaporkan   menghadiri perlawanan malam tadi bersama Ahmad Bashah, dan sudah "99.9 peratus" setuju untuk kembali menaja mereka.

- see more at: http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/malang-ahmad-bashah-kena-boo-di-stadium-darul-aman-video#sthash.iGZALGHM.dpuf

參考來源